Telefon bimbit sekarang adalah satu kemestian. Tanpa sesaat pun telefon bimbit akan buat kita tak keruan. Itu adalah FAKTA! Kalau kita imbas berpuluh tahun dahulu, telefon bukanlah satu alat yang sangat penting tetapi sekarang kita memang bergantung sepenuhnya. Maklumat dihujung jari. Dengan satu sentuhan, semua maklumat kita dapat. Dengan hanya satu sentuhan, kita boleh berkomunikasi di seluruh dunia. Maklumat sampai terlampau cepat dengan teknologi terkini tanpa batasan.
Tetapi, tahukah korang semua bahawa evolusi telefon bimbit ini telah dicipta lebih 45 tahun dahulu? Jom kita baca sejarah 45 tahun dahulu bagaimana terciptanya alat yang sangat memberi kesan kepada kehidupan kita sekarang.
1957
Sebelum telefon bimbit diperkenalkan pada tahun 1973, telefon mudah alih terhad kepada telefon yang dipasang di dalam kenderaan. Ini adalah peralatan telefon radio pertama yang membolehkan seseorang membuat panggilan tanpa pengawasan syarikat telekomunikasi tempatan. Lebih dikenali sebagai telefon kereta, telefon putar ini dipasang di dalam kereta dan seberat 40kg.
1973
Pada tahun 1973, Motorola mencipta sejarah syarikat pertama menghasilkan telefon bimbit genggam pertama iaitu model Motorola DynaTAC. Pada tahun 1984, Motorola mengeluarkan Motorola DynaTAC 8000X, telefon bimbit mudah alih komersial yang pertama di dunia.
1997
Pada tahun 1997, Nokia mengeluarkan Nokia 3110 ke pasaran. Ketika itu 3110 adalah telefon bimbit yang paling kompak di pasaran, menamatkan trend telefon bimbit yang besar pada tahun 1970-an dan 1980-an. Menjelang 2008, Nokia Corp telah mengetuai industri telekomunikasi lebih satu dekad, mencapai pasaran tertinggi iaitu 40 peratus dalam jualan telefon bimbit di seluruh dunia.
1999-2002
Blackberry pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999, tetapi ia mula menjadi kegilaan ramai ketika mengeluarkan model terbaru pada tahun 2002 kerana ia menampilkan ciri-ciri seperti emel wayarles dan penghantaran lampiran faks menerusi telefon bimbit.
2000
Pada awal 2000, telefon bimbit dengan ciri-ciri telefon lipat (flip phone) memasuki pasaran. Motorola memperkenalkan telefon dengan reka bentuk yang anggun dengan skrin berwarna bagi pengguna yang mahukan kelainan.
2003
Bukan Paris Hilton sahaja yang jatuh cinta dengan T-Mobile Sidekick miliknya. Pengguna dapat menikmati papan kekunci penuh di skrin segi empat tepat termasuk pelayaran web, emel, mesej segera AOL, kalendar dan kamera, permulaan ciri-ciri penting telefon pintar sekarang.
2004
Pernah menjadi telefon bimbit lipat terlaris di dunia, Motorola memperkenalkan telefon flip Razr pada tahun 2004. Telefon yang paling kompak dan nipis di pasaran ketika itu iaitu model V3 terjual sebanyak 130 juta unit dalam jangka masa empat tahun.
2005
Pada tahun 2005, Blackberry menghantar emel luar dari pejabat menjadikan ia telefon bimbit kegemaran pekerja korporat dan peniaga kerana ia juga mempunyai ciri Wi-fi, skrin penuh warna dan papan kekunci yang lebih besar. Penggunaan tambahan telefon bimbit itu turut meningkatkan jumlah pesakit dengan 'sindrom ibu jari Blackberry' atau lebih dikenali sebagai sindrom carpal tunnel dan tendonitis.
2007
Pada tahun 2007, Apple mengeluarkan iPhone pertama mereka dan selebihnya menjadi sejarah. Revolusi iPhone menggabungkan tiga produk- telefon mudah alih, skrin iPod yang lebar dengan kawalan skrin sentuh dan peranti komunikasi internet yang hebat. Ia juga memperkenalkan ciri baru sepenuhnya berdasarkan paparan multi-sentuhan yang besar dan membolehkan pengguna mengawal iPhone dengan menggunakan jari sahaja.
2016
Pada 7 September 2017, Apple melancarkan iPhone7 yang kalis air, lensa berkembanr yang menawarkan zoom optik dua kali ganda dan sehingga 10 kali ganda zoom digital untuk foto, fon telinga tanpa wayar dan prestasi serta hayat bateri terbaik.
Sumber : Utusan Malaysia, 1 April 2018