Rabu, 21 Mac 2012
Drama Review : Sinopsis 3 Janji
Selepas berdepan dengan fenomena Vanilla Coklat, drama 3 Janji pula menyusul menggantikan drama Vanilla Coklat. Adakah drama ini dapat mengatasi kehebatan Vanilla Coklat?...Sama-samalah kita saksikan drama ni ok.
Sinopsis drama 3 Janji
Kisah ‘3 Janji’ bermula di sebuah kampung yang berjauhan dari bandar. Dalia (Liyana Jasmay) dan Khursyi (Shahrizal Jaszle) berkawan baik sejak kanak-kanak. Mereka hidup berjiran dan hubungan kedua-dua keluarga juga akrab.
Dalia dan Khursyi saling memahami dan menyayangi. Impian Dalia ialah menjadi penari tetapi Khursyi yakin Dalia akan berjaya sebagai seorang doktor. Khursyi pula bercita-cita menjadi seorang kaunselor yang hebat. Hubungan mereka bertukar menjadi pasangan kekasih apabila Khursyi tidak dapat menafikan kasih sayangnya terhadap Dalia selepas berjaya menghalang rancangan jahat Elias (Idzham Ismail) terhadap Dalia. Kedua-dua keluarga juga merestui hubungan mereka dan merancang untuk berbesan apabila sampai masa nanti.
Malang tidak berbau... Dalam perjalanan mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM, Khursyi ditimpa kemalangan menyebabkan dia cedera parah dan tidak sedarkan diri. Selepas tersedar, Khursyi bercakap tentang 3 janji yang pernah dibuat bersama Dalia sebelum ini.
Khursyi bersyukur yang dia sudah berjaya menjadi sahabat terbaik buat Dalia, dan kemudian menjadi kekasih yang terbaik dan berazam untuk menjadi suami terbaik buat Dalia. Dalia terharu dan bahagia kerana amat disayangi Khursyi. Pesan Khursyi lagi, andai mereka tiada jodoh pula, dia mahu Dalia mencari lelaki yang boleh melaksanakan 3 perkara itu juga. Itulah 3 Janji yang harus dipegang Dalia.
Namun, tidak lama kemudian Khursyi meninggal dunia. Bagaikan kehilangan sesuatu dalam dirinya, Dalia pasrah tetapi cuba menguatkan diri untuk meneruskan hidupnya., Dalia redha dengan pemergian Khursyi dan sentiasa teringat kepada 3 janji yang pernah dilafazkan oleh Khursyi.
Keluarga Dalia mengambil keputusan untuk berpindah ke Indonesia kerana keadaan Dalia yang sentiasa murung. Selepas 5 tahun, Dalia pulang ke Malaysia dan tinggal bersama makciknya, Adila (Hanez Suraya). Dalia mengambil jurusan perubatan seperti yang dijangka oleh arwah Khursyi dahulu tetapi masih menari ketika lapang untuk mengubat hatinya yang luka.
Yassin (Shah Iskandar) terpikat dengan tarian Dalia ketika mengambil gambusnya di studio latihan. Tanpa disedari, Yassin turut mengiringi tarian Dalia dengan alunan gambusnya berentak zapin. Dalia terkejut dengan kehadiran Yassin dan terus berhenti menari sebelum meninggalkan bilik itu.
Sejak hari itu, Yassin sering mencari peluang untuk mendekati Dalia. Keikhlasan dan kebaikan Yassin akhirnya membuka hati Dalia untuk berkawan dengannya. Yassin menjadi teman setianya semasa membuat ulang kaji dan menari. Keprihatinan Yassin mengingatkan Dalia tentang 3 Janji tersebut kerana Yassin sudah menepati janji pertama yang telah menjadi sahabat terbaik buat Dalia. Tanpa disedari, Sufi (Ana Dahlia) yang mencemburui hubungan mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuklah bersubahat dengan Elias untuk mendapatkan Yassin.
Hati Dalia menjadi keliru apabila berjumpa dengan jiran barunya, Kamil (Shahrizal Jaszle) yang mirip wajah arwah Khursyi. Kerinduannya terhadap arwah Khursyi menjadikan Dalia hilang dalam angannya dan mengejar cinta daripada Kamil. Pada mulanya Kamil rimas dengan obsesi Dalia. Namun, Kamil mula berkawan dengan Dalia kerana mempunyai agenda tersembunyi.
Di antara Yassin dan Kamil, siapakah cinta sejati Dalia yang merupakan sahabat, kekasih dan suami terbaik? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan 3 Janji lakonan hebat Liyana Jasmay, Shahrizal Jaszle, Shah Iskandar, Ana Dahlia, Idzham Ismail, Hanez Suraya, Ungku Ismail, Roy Azman, Zalfie, Rosnah Johari, Zara Zya, Ainina Ahmad dan Mubarak Majid mulai 20 Mac 2012, setiap hari Selasa jam 9.00 malam.
Sumber : gua
About lepak.com.my
lepak.com.my ini diwujudkan bagi berkongsi info, petua, resepi,tempat menarik yang kami lawati dan lain-lain dengan anda. Di lepak kami sangat mengalu-alukan sebarang pandangan dan berkongsi apa jua isu bersama anda semua
Drama Review : Sinopsis 3 Janji
2012-03-21T19:36:00+08:00
lepak.com.my
Drama Review|