Kalau korang tak tahu nak pergi mana hujung minggu, apa kata pergi seisi keluarga atau dengan kawan-kawan di Sungai Tekala. Sungai Tekala merupakan salah satu destinasi pelancongan di daerah Hulu Langat, Selangor.
Jaraknya dari Semenyih ialah 16 kilometer dan 23 km dari bandar Kajang. Dari Kuala Lumpur 48 km atau 45 minit dengan berkereta.
Sungai Tekala terkenal dengan air terjun yang bersih yang terletak di dalam jagaan hutan. Terdapat juga beratus tumbuhan yang dilabel untuk pengunjung untuk belajar meneroka alam semulajadi.
Keluasan kawasannya lebih dua setengah ekar dan terdapat tujuh tingkat air terjun dari bawah sampai ke puncaknya.
Trek jalan pula dibina dengan kemas untuk memudahkan pengunjung meneroka hutan dan terdapat juga beberapa buah pondok di sepanjang trek untuk pengunjung berehat bersama-sama keluarga.
Kemudahan awam seperti tandas juga disediakan bagi kemudahan. Bayaran akan dikenakan sebanyak RM1 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak.