Rabu, 2 Mac 2011

Kerajaan pinda akta untuk halalkan skim 'kutu'

PENDANG: Peserta permainan 'kutu' yang sebelum ini terdedah kepada penipuan, akan dilindungi undang-undang apabila kerajaan meminda Akta Perniagaan Jualan Langsung (MLM) bagi menghalalkan skim itu.

Draf pindaan akta yang sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji itu juga akan dapat membanteras sebarang bentuk penganiayaan terhadap pengguna selain menjadi salah satu cara mencegah orang ramai terbabit skim cepat kaya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Rohani Abdul Karim, berkata pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Pada masa ini tiada perlindungan bagi mereka yang menyertai skim kutu itu dan terdedah kepada penipuan serta penganiayaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kementerian memandang serius permainan ini kerana ia membabitkan sehingga jumlah wang yang besar selain tiada akta khususnya yang melindungi kepentingan pesertanya.

“Saya berharap akta itu dapat dibentangkan ke Kabinet tahun ini supaya permainan tersebut sah di sini undang-undang sebagai salah satu cara mencegah orang ramai terbabit dengan skim cepat kaya,” katanya selepas merasmikan seminar Koperasi Wanita Peringkat Negeri di sini, semalam.

Pada 15 Oktober tahun lalu, empat ejen sebuah syarikat pelaburan wang kutu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 pada 2008.
Pada 28 September tahun sama, sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menganjurkan pelaburan wang kutu menggunakan wang pos dinamakan Program Ekspres yang dikatakan mencatat keuntungan kira-kira RM30 juta hasil penyertaan 30,000 ahli.

Sementara itu, Rohani berkata, kementerian juga merancang meminda undang-undang berkaitan aktiviti tarik kereta yang sering menimbulkan masalah di kalangan pengguna.

Katanya, melalui undang-undang berkenaan penarik kereta mestilah berdaftar mengikut sistem tertentu bagi membolehkan mereka menjalankan kerja secara lebih telus dan berhemah.

"Kita dengar banyak rungutan tukang tarik kereta yang bersikap seperti samseng hingga ada kereta yang pinjamannya sudah dilunaskan sebanyak 75 peratus, ditarik secara tidak berhemah.

"Melalui undang-undang ini, kita tidak benarkan hal ini berlaku dan kita akan memastikan ia lebih tertib tanpa membabitkan sebarang kekasaran terhadap pengguna," katanya.

sumber : www.bharian.com.my


lepak.com.my

About lepak.com.my

lepak.com.my ini diwujudkan bagi berkongsi info, petua, resepi,tempat menarik yang kami lawati dan lain-lain dengan anda. Di lepak kami sangat mengalu-alukan sebarang pandangan dan berkongsi apa jua isu bersama anda semua

Subscribe to this Blog via Email :