Laporan akhbar Kosmo bertarikh 27 Mac 2011 melaporkan bahawa kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.
Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.
Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini. Terbaru gempa bumi berukuran 6.8 skala Ritcher yang berlaku di Myanmar dapat dirasai kesan gegaran oleh penduduk Perlis di Utara Semenanjung Malaysia. Jarak di antara titik gempa yang berlaku di Myanmar dan barat laut Kangar Perlis hanya sejauh 1,613 kilometer.
Ini menunjukkan kedudukan Malaysia di luar Lingkaran Api Pasifik tidak lagi memberi jaminan bahawa gempa bumi tidak akan berlaku di Malaysia pada masa hadapan. Kesan gempa bumi yang berlaku di sekitar Asia Tenggara turut menggerakkan kepingan bumi di daratan termasuk ke arah Malaysia.
Berikut adalah kronologi gempa dan tsunami di Asia Tenggara.
TAHUN | KRONOLOGI |
24 Mac 2011 | Seramai 75 orang terkorban akibat gempa bumi berukuran 6.8 skala Ritcher di Myanmar dengan kesan gegaran dapat dirasai di Perlis, Malaysia |
11 Mac 2011 | Dianggarkan 10,000 maut akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun |
30 September 2009 | Satu gempa bumi 7.6 pada skala Ritcher berlaku di Padang, Sumatera, Indonesia dan seramai 704 mangsa mati |
2 September 2009 | Gempa 7.0 skala Ritcher menggegar Tasik Malaya, Pulau Jawa yang mengorbankan seramai 123 orang sehingga mencetuskan tanah runtuh |
2 April 2007 | Lebih 50 nyawa maut sementara ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa 8.0 skala Ritcher melanda Kepulaian Solomon dan menyebabkan tsunami |
6 Mac 2007 | Gempa berukuran 6.3 pada skala Ritcher menggegar pulau Sumatera, merobohkan bangunan dan mengorbankan kira-kira 70 orang |
17 Julai 2006 | Sekurang-kurangnya 596 maut, lebih 9,500 cedera dan 74,000 yang lain hilang tempat tinggal setelah gempa dasar laut sekuat 7.7 skala Ritcher melanda Pulau Jawa dan mencetuskan tsunami |
27 Mei 2006 | Wilayah Yogyakarta dilanda gempa 6.3 skkala Ritcher, mengorbankan 6,000 mangsa dan menyebabkan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal |
28 Mac 2005 | Sekurang-kurangnya 900 maut apabila gempa dengan magnitud 8.6 skala Ritcher menggegar pulau Nias, Sumatera |
26 Disember 2004 | Gempa dasar laut sekuat 9.1 skala Ritcher dari pantai pulau Sumatera mencetuskan tsunami yang membunuh 220,000 mangsa di sekitar Lautan Hindi termasuk 168,000 nyawa di Acheh, Indonesia |